Wednesday 25 July 2012

Merawat Hubungan Malaysia Indonesia

Indonesia ialah sebuah negara yang besar. Keluasannya menjangkau dari Sabang ke Maraukee dan penduduknya sudah melebihi 260 juta. Terdapat ribuan pulau yang tersebar luas dan ada yang tiada penghuni. Malaysia pula ialah sebuah negara kecil yang menjadi sedikit besar dengan masuknya Sabah dan Serawak ke dalam Malaysia. Penduduknya pun sekitar 26 juta manusia. Itulah sedikit gambaran fizikal antara kedua-dua negara.

Dari aspek penduduk Malaysia hanya mempunyai 10% daripada jumlah penduduk Indonesia dan keluasan pun hampir 10% daripada keluasan Indonesia. Ada kemungkinan nisbah antara Malaysia dengan Indonesia menjadi 1 : 10 dalam beberapa aspek. Mungkin perlu dikaji nisbah dalam bidang-bidang lain.

Dalam situasi mikro sebuah keluarga yang mempunyai anak tunggal lebih mudah diurus berbanding dengan keluarga yang mempunyai sepuluh anak. Dalam semua aspek famili beranak tunggal mendapat segala kemewahan, kemudahan, kasih sayang dan belaian mesra berbanding famili besar.

Setelah memberikan gambaran yang luas dan sedikit perbezaan antara kedua negara, kini saya akan fokus kepada aspek pendidikan dan ilmu. Kita semua tahu dalam dunia kini dan akan datang (alam barzah) kejayaan kita bergantung kepada Ilmu. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW mengatakan bahwa jika kita inginkan dunia kita mesti memiliki ilmu, jika kita mahu akhirat (syurga) kita juga mesti memiliki ilmu dan jika kita mahu kedua-duanya kita mesti memiliki ilmu. Ilmu membezakan antara manusia cerdik dan manusia tidak cerdik. Ilmu mengawal segala tindakan kita. Ilmu menaikkan martabat manusia. Ilmu memberikan kita kemerdekaan sebenar dari aspek hubungan kita dengan manusia dan Allah SWT.

Tidak dapat dinafikan hubungan antara kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia sangat baik kerana tahap ilmu pemimpin kedua-dua negara sangat tinggi dan berhemah. Perkara yang menjadi masalah utama ialah rakyat bawahan. Tahap pendidikan rakyat bawahan di mana-mana negara pun menjadi masalah, apa lagi mereka mudah diperbudakkan dengan hasutan golongan yang “sedikit cerdik” tetapi “banyak inginnya”. Pihak yang berkepentingan akan menggunakan kedaifan sebahagian rakyat untuk memulakan konfrantasi, apa lagi ada imbuhan material yang cukup lumayan buat sehari.

Di sinilah kita memerlukan kesabaran yang sangat tinggi dalam mendidik rakyat kedua-dua negara agar tahap keilmuan rakyat biasa dapat ditingkatkan. Syukur alhamdulillah sudah ada rakyat Malaysia yang membuka institusi pendidikan di Indonesia dan juga mungkin pada masa akan datang rakyat Indonesia pula akan mengendalikan institusi pendidikan di Malaysia. Hubungan pendidikan menjamin hubungan lestari antara Malaysia dengan Indonesia. Saya sungguh yakin melalui ilmu kita boleh menyelesaikan masalah ini secara tuntas.

Laksana sabarnya seorang jururawat merawat pesakit di hospital begitulah juga kita perlu merawat luka-luka kecil yang terjadi di sana sini dalam hubungan Malaysia dengan Indonesia. Mudah-mudahan langkah kecil kita dalam memandaikan kedua-dua bangsa akan membuahkan hubungan yang lebih akrab. Lupakan peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku dan perbanyakkan dialog kedua-dua negara bagi memahamkan kenapa ini dan kenapa itu berlaku agar semuanya faham mengenai sebarang situasi yang timbul. Melalui ilmu dan fakta kita sangat yakin rawatan yang ampuh dalam merawat hubungan ini akan menjadi lebih mudah. Hubungan akan menjadi lebih mesra dan bermakna jika hubungan baik dalam pendidikan pada masa dahulu, sekarang dan akan datang diperkukuhkan.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 26 Julai 2012.


No comments:

Post a Comment