Saturday 30 June 2012

Stigma Hubungan Malaysia dengan Indonesia

Hubungan antara Malaysia dengan Indonesia seperti pasang surut air laut. Ada ketikanya air laut itu pasang dan ada ketikanya air laut itu surut. Bukan hanya sekadar demonstrasi aman di depan Kedutaan Malaysia, namun ada objek-objek yang dibaling ke dalam kedutaan dan ada ketikanya mendatangkan kecederaan kepada staf kedutaan Malaysia di Jakarta. Begitulah senario hubungan antara Malaysia dengan Indonesia. Ada ketika sangat akrab dan pada ketika yang lain seperti mahu memutuskan hubungan diplomatik.

Sebagai pengamat sosial, saya seringkali menjadi sangat keliru dengan keadaan ini dan selalu bertanya di manakah silapnya hubungan ini, atau apakah faktor-faktor yang menyebabkan hubungan ini menjadi begitu tidak stabil. Apakah kerana kita bangsa serumpun maka sikap dan perasaan Indonesia sebagai abang dan Malaysia sebagai adik menjadi punca masalah atau kerana masalah lain. Ini suatu persoalan yang baik untuk dikaji.

Ada yang mengatakan bahwa pembentukan Malaysia oleh Tengku Abdul Rahman pada tahun 1963 membuat Indonesia begitu marah dengan pembentukan itu dan Presiden Sukarno melancarkan kempen “Ganyang Malaysia” pada tahun 1965. Melalui pidatonya yang berapi-api telah menaikkan semangat kemarahan rakyat Indonesia kepada Malaysia.

Senario hubungan antara pemerintah berubah cepat selepas Presiden Suharto mengambilalih pemerintahan Indonesia dan sejak itu hubungan kedua-dua pemerintah bertambah baik dan stabil hingga kini. Masalahnya hubungan antara rakyat menjadi tidak stabil apabila timbul isu-isu tertentu dalam hubungan rakyat kedua-dua negera. Ada yang menganggap insiden-insiden yang berlaku adalah terpencil dan tidak perlu dipedulikan kerana lambat laun isu itu akan mati dengan sendirinya.

Setiap kali tercetus isu yang melibatkan hubungan rakyat Malaysia dan Indonesia akan berlaku demonstrasi di Jakarta dan kota-kota besar Indonesia yang lain, rakyat Malaysia yang tidak biasa dengan demonstrasi tidak ambil kisah pun dan tidak bertindak balas memanaskan keadaan. Akhirnya isu demikian reda dan hilang dari ingatan rakyat kedua-dua negara. Mungkin melalui proses pengenalan yang lebih jitu dan terarah emosi rakyat kedua-dua negara dapat dididik ke arah toleransi yang lebih baik.

Ada yang mencadangkan agar lebih banyak perkahwinan antara rakyat kedua-dua negara dapat sedikit sebanyak meningkatkan hubungan akrab antara rakyat dan sekaligus sedikit demi sedikit menghilangkan stigma hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Dari segi ekonomi Malaysia merupakan pelabur terbesar di Indonesia dan dua buah bank besar Malaysia sudah lama beroperasi dengan jayanya di Indonesia, malah usaha perladangan kelapa sawit melalui Tabung Haji dan syarikat besar yang lain berjalan dengan rancaknya. AirAsia sebuah syarikat tambang murah sudah pun memindahkan operasi mereka ke Indonesia.

Melalui tenaga buruh yang murah dan sikap ramah yang memukau rakyat Indonesia kita berdoa agar stigma hubungan antara kedua-dua negera dapat dipulihkan dalam dekad-dekad mendatang dan hubungan antara Malaysia dan Indonesia akan menjadi betul-betul seperti adik beradik dan seperti aur dengan tebing.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 1 Julai 2012.

No comments:

Post a Comment