Wednesday 25 July 2012

Mengakrabkan Hubungan Malaysia dan Indonesia

Insya Allah, pada 24 hingga 28 Oktober 2012 serombongan pelajar-pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan mengadakan lawatan persahabatan dan sekaligus mengadakan korban di sebuah Pesantren di Bandung. Lawatan yang akan disertai oleh 30 orang mahasiswa dan mahasiswi serta dua pensyarah pengiring akan mengadakan ibadah korban dan menyampaikan sumbangan di Pesantren berkenaan. Ini merupakan salah satu kaedah untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia dengan selalu mengadakan kunjungan rakyat berbagai lapisan antara kedua-dua negara.

Pesantren Al-Ashar Al-Madani berpusat di Jalan Arcamanik, Kampong Penggilingan, Desa Sindanglaya, Kecamatan Cimenyan dalam Kabupaten Bandung. Mudir Pesantren ini ialah Bapak Mustafa Kamal seorang lulusan Institut Agama Islam Negeri (IAIN).

Pesantren yang mempunyai ramai pelajar termasuk tujuh (7) orang pelajar dari Malaysia, telah mula dibangun sejak tahun 2010 lagi oleh seorang teman akrab saya bernama Chairil Anwar yang sering saya panggil Wawan saja. Pada tahun 70an Wawan sekeluarga tinggal di Jalan Jalak berhampiran dengan Gedung Sate. Kebetulan saya dan kawan-kawan dari Malaysia menyewa sebuah rumah di jalan yang sama ketika kami belajar di Institut Teknologi Bandung (ITB) antara tahun 1970 hingga 1976. Ketika itu Wawan baru berusia 14 tahun dan adiknya Dewi berusia 10 tahun. Wawan juga mempunyai seorang kakak yang sering menjadi intaian teman-teman dari Malaysia ketika itu.

Bertahun-tahun Wawan cuba menjejaki saya namun penjejakan beliau tidak berhasil sehinggalah beliau menggunakan “facebook” untuk mencari saya dan kami bertemu secara maya pada awal tahun 2011. Seterusnya ketika saya berpeluang menghadiri “International Conference on Research in Education and Mathematics (ICREM)” di ITB pada bulan Oktober 2011, kami bertemu buat pertama kali sejak berpisah pada tahun 1972.

Wawan membawa saya melihat Pesantren Al-Ashar Al-Madani yang masih dalam pembinaan ketika itu. Inilah Pesantren yang saya pilih untuk dilawati oleh pelajar-pelajar USIM kerana Wawan ialah sahabat yang sangat dekat dengan saya ketika di Bandung dulu dan falsafah Pesantren ini lebih menitikberatkan kepada pelajar miskin tetapi mempunyai potensi yang cemerlang. Juga pesantren boleh menampung pelajar-pelajar Islam dari negara-negara lain yang ingin mendalami agama.

Perkembangan pesantren dari masa ke semasa boleh dilihat dalam fanpage khasnya dalam fesbuk yang saya namakan “Pesantren Al-Ashar Al-Madani” dan harapan saya pesantren ini akan menjadi jembatan hubungan berkekalan antara Malaysia dengan Indonesia. Lebih ramai pelajar Malaysia dan Indonesia dapat berinteraksi lebih baik kesefahaman antara Malaysia dengan Indonesia dapat dibina dan sekaligus mematikan langkah para penghasut yang hanya menangguk di air keruh.

Wawan yang ketika ini masih belum mempunyai isteri yang baru pernah berbisik dengan saya untuk cuba mendekati gadis Malaysia yang ayu yang dapat dijadikan pasangan hidup, saya secara positif mengatakan “bisa diatur” dan siapa tahu jodohnya ada di Malaysia yang belum dijumpai. Namun, apa pun keadaannya biarlah Wawan menemui sendiri jodohnya dan membuat keputusan yang tepat setelah ada keserasian. Saya hanya mendoakan sambil berusaha agar beliau dipertemukan dengan seorang suri yang dapat menerangi hidupnya. Mudah-mudahan Allah permudahkan usaha itu.

Bagi merealisasikan cita-cita pelajar USIM untuk mengadakan lawatan ihsaniah itu pada 24 hingga 28 Oktober 2012 nanti pihak pelajar sangat-sangat memerlukan bantuan orang ramai terutama dalam menyampaikan sumbangan derma dan juga acara korban. Sumbangan boleh terus disampaikan kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), USIM dengan menghubungi En. Rahamat di nombor telefon 06-7986152, semoga sumbangan kita yang kecil ini akan membantu hasrat hubungan lestari yang amat besar itu.

Ismail Abdullah, USIM, 26 Okt 2012.


No comments:

Post a Comment