Tuesday 25 October 2011

Hormati ketetapan hentikan polemik PPSMI

Oleh DR. SHAMSUL BAHAR ABDUL KADIR
PENULIS ialah Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sewajarnya tidak perlu dijadikan polemik oleh semua pihak kerana kami percaya keputusan menghentikan pelaksanaan PPSMI dibuat berlandaskan kajian yang mendalam oleh pihak kerajaan.

Kami percaya keputusan yang dibuat Kementerian Pelajaran itu selepas mengambil kira suara ibu bapa di semua peringkat dan kawasan, pandangan guru-guru di sekolah-sekolah bandar serta luar bandar di samping para cendekiawan, akademik dan orang perseorangan yang arif dalam bidang tersebut. Maka adalah tidak wajar jika ada pihak-pihak tertentu yang mendesak PPSMI dilaksanakan semula dengan mengambil pandangan sebelah pihak sahaja.

Sebagai pertubuhan yang menghimpun rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di Indonesia sejak tahun 1950-an hingga kini, Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat menyokong langkah kerajaan menggantikan PPSMI dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang selari dengan Dasar Pendidikan Negara.
Kami percaya walaupun mempelajari Matematik dan Sains atau lain-lain mata pelajaran dalam bahasa Malaysia sekalipun, kita masih berupaya untuk melahirkan anak-anak dan barisan generasi muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu.

Sebagai contoh, sebahagian besar ahli-ahli persatuan kami yang mendapat pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dan menengah mengunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Kami seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran kami dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, kejuruteraan atau perubatan di IPT-IPT di Indonesia yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Indonesia sepenuhnya.

Mereka yang telah lulus dan kembali ke tanah air berjaya membuktikan bahawa bahasa bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing. Malahan ramai di kalangan kami yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sains dan teknologi di universiti-universiti terkemuka di negara Barat seterusnya mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mereka yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan pula berjaya meningkatkan pencapaian mereka dengan memperoleh kelayakan profesional dan menjadi doktor pakar yang di peringkat antarabangsa. Ada yang sudah menjadi naib canselor di IPTA-IPTA terkemuka, ada yang menjadi pakar-pakar dalam pelbagai bidang perubatan, pegawai-pegawai tertinggi dalam syarikat korporat di samping ahli-ahli politik yang berjaya.

Sebut sahaja nama-nama besar seperti Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Yassin, Datuk Dr. Abu Bakar Hamid, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin (akademik), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang, Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed (politik) atau nama-nama seperti Datuk Abdul Rahman Daud (korporat), Datuk Dr. Asmah Omar, dan Dr. Siti Zainon Ismail (sosiobudaya). Mereka ini telah membuktikan bahawa mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia di peringkat sekolah dan bahasa Indonesia di peringkat universiti bukan penghalang untuk mencapai prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Jika berlandaskan sejarah pula, bahasa Malaysia sudah ditetapkan sebagai bahasa perpaduan rakyat negara ini yang berbilang kaum. Selepas kejadian berdarah 13 Mei 1969, kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar menyatakan satu bahasa perpaduan perlu ditetapkan dan sejak itu kerajaan tekun melaksanakan perubahan di mana sekolah-sekolah berbahasa pengantar Inggeris ditukar ke bahasa Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Perlu diambil perhatian bahawa gambaran yang dikemukakan kepada umum bahawa PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja sehingga tidak menukarkan dasar bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah tidak tepat. Ini kerana apabila dua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah, ia akan meningkat kepada lebih 80 peratus apabila memasuki tingkatan empat. Apalagi apabila sampai ke peringkat universiti di mana hampir semua IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris khususnya untuk bidang-bidang profesional.

Apabila ini berlaku maka hasrat memperkasa bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tinggal impian belaka. Istilah baharu dalam bidang sains, teknologi, perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain tidak perlu lagi dicipta manakala istilah yang sedia tercipta tidak lagi digunakan. Buku juga tidak akan ditulis dan diterbitkan.

Perbincangan awam pun dalam bidang-bidang alam sekitar, kesihatan, pembangunan manusia, ekonomi, kewangan dan lain-lain tidak akan dapat dijalankan dalam bahasa Malaysia kerana istilah baharu tidak dicipta dan penggunanya pula tidak lagi fasih menggunakan bahasa Malaysia.

Ahli-ahli Parlimen juga akan mendapati sukar membincangkan isu-isu semasa dalam bahasa Malaysia ketika sidang Parlimen. Oleh kerana terlalu sering memohon "dengan izin" apabila mahu menggunakan istilah Inggeris, tidak mustahil akhirnya nanti mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Selanjutnya para wartawan pun akan mendapati sukar untuk membuat liputan persidangan Parlimen dan lain-lain persidangan dalam bahasa Malaysia. Akibatnya akhbar berbahasa Malaysia tidak lagi akan berdaya maju sebagai badan perniagaan. Edarannya tidak cukup besar untuk menampung kos penerbitannya.

Apakah bayangan masa depan kedudukan bahasa Malaysia ini khayalan belaka? Jika sejarah tulisan jawi di Malaysia boleh kita jadikan iktibar, maka kesimpulan ini suatu kemungkinan yang munasabah dan amat menakutkan.

Kami percaya, masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan mahasiswa IPT adalah suatu perkara yang serius dan satu penyelesaian munasabah perlu dicari untuk mengatasinya. Mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bukan kaedah yang telah teruji di mana-mana pun untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya kaedah mengajar bahasa - apa sahaja bahasa sekalipun termasuk bahasa Inggeris - perlu dikaji semula.

Banyak hal yang perlu dilihat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah antaranya tahap kemahiran para guru, kurikulum yang sedia ada, alat bantu mengajar yang mencukupi, suasana pembelajaran dan lain-lain.
Kaedah yang telah teruji meningkatkan kemahiran bahasa ialah melalui pembacaan. Justeru, penekanan terhadap pembacaan bahan-bahan kesusasteraan atau karya besar dalam bahasa Inggeris akan jauh lebih berkesan daripada mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut.

Kami mengharapkan agar kerajaan tidak lagi berganjak daripada keputusan menghapuskan PPSMI, seterusnya melaksanakan MBMMBI dengan bersungguh-sungguh serta tidak tunduk terhadap mana-mana pihak yang berusaha untuk menghidupkan PPSMI atau mahupun melahirkan semula sekolah kebangsaan berbahasa pengantar Inggeris.

Rencana diterbitkan di Utusan Online, 25 Oktober 2011.

Sunday 9 October 2011

Kampus ITB di Malaysia – Siri 2

Pertemuan dengan Rektor ITB

[Foto bersama Bapak Rektor ITB, Prof Dr Ahmaloka]

Majlis Halal Bihalal bersama Rektor Institut Teknologi Bandung (ITB) berlangsung di Aula Kedutaan Besar Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Ahad, 9 Oktober 2011, bermula jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang berjalan lancar.

Pertemuan ini dimulai dengan sambutan oleh Wakil KBRI, diikuti dengan ucapan Prof Dr Ahmaloka, Rektor ITB. Seterusnya sambutan oleh Bapak Ir Amir Sambodo, Ketua Alumni ITB merangkap anggota Komite Inovasi Nasional Indonesia. Majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Ikatan Alumni ITB Kuala Lumpur, Bapak Sigit, kemudian ucapan Prof Tan Sri Dr Mohd Salleh Mohd Yassin dan terakhir penerangan tentang kemajuan penubuhan ITB Malaysia.

Teman-teman ITB yang hadir ialah Prof Dr Muhammad Awang, Prof Dr Jambari Hj Ali, Prof Dr Saringat Baie, Prof Dr Sabri Othman beserta isteri, Dr Jamaluddin Basharuddin, Prof Dr Wan Daud Wan Yusoff, Ir Onn Yusoff, Dr Hamid dan isteri. Ramai alumni ITB yang berasal dari Indonesia hadir dalam majlis ini, diperkirakan sekitar 100 orang hadir dalam pertemuan ini.

Rektor dalam ucapannya memberikan informasi tentang ITB yang kini sudah mempunyai empat (4) cawangan, iaitu Kampus-G (Jln Ganeca 10), Kampus-B (Bekasi), Kampus-J (Jatinangor), Kampus-W (Walini). Dijangkakan ITB Kampus-M (Malaysia) akan menjadi realiti sedikit masa lagi. Kini ITB mempunyai sekitar 20,000 pelajar dengan sekitar 15,000 pelajar S1, dan sekitar 5,000 pelajar untuk S2 dan S3. Pada tahun 70an, kemasukan pelajar ke ITB adalah sekitar 1,800 setahun, namun kini sudah meningkat ke 3,200 setahun.

Sementara intake postgraduate pula ialah sekitar 1,500 pelajar setahun. Staf akademik ITB kini ialah sekitar 1,200 orang yang terdiri dari 80% berijazah PhD, ITB kini mempunyai 120 professor, 300 associate professor, 400 assistant professor. Pada masa kini ITB menduduki ranking ke-93 di dunia dalam bidang teknologi. Terdapat pelajar dari 15 buah Negara yang belajar di ITB dan separuh daripadanya ialah dari Malaysia. Kini terdapat sekitar 400 pelajar Malaysia yang belajar di ITB dalam pelbagai bidang.

Diramalkan bidang sains pengkomputeran (computational science) akan menjadi focus utama pengajian pada masa akan datang. Aspek aplikasi komputer telah menerobos ke hampir semua bidang pengajian kini dan tren ini akan berterusan dengan ciptaan komputer yang lebih canggih pada masa akan datang. Juga komputer sebagai “enabler” telah menguasai kaedah penyampaian pengajian melalui berbagai cara seperti “video conferencing”, “E-Learning” dan pengkomputeran.

Bapak Ir Amir Sambodo telah menyentuh mengenai keberadaan alumni ITB di manca (berbagai) negara. Kemana saja beliau pergi baik dalam Indonesia atau di kota-kota besar seluruh dunia pasti akan berjumpa dengan alumni ITB, misalnya di Qatar ada 300 alumni ITB, Malaysia (400 orang), USA (30), London (20), German (30), Argentina, Brazil dan lain-lain dalam jumlah yang tertentu. Penyebaran alumni ITB ke seluruh dunia secara direncana atau tidak direncana sudah memenuhi konsep globalisasi pendidikan dan peranan ITB dalam aspek ini sangat dominan. Berlaku interaksi “cross-culture” dan sekaligus dapat membangun generasi muda melalui pendidikan. Fenomena ini diharapkan dapat menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui pendidikan, tren ini akan meluncur laju dengan terbinanya ITB Cawangan Malaysia dalam waktu terdekat.

[Foto bersama dengan Bapak Ir Amir Sambodo]

Bapak Ir Amir juga membicarakan mengenai inovasi terbuka (open innovation) di mana leadership akan memberikan vision dan strategy, sementara management pula akan membuat perencanaan dan menentukan bajet perlaksanaan. Sesuai dengan gagasan Perdana Menteri Malaysia dalam ucapan bajet 2012 yang menjadikan tahun 2012 sebagai Tahun Inovasi, kita perlu merebut peluang ini dengan mencipta inovasi baru dalam pemikiran kedua-dua negera agar lebih banyak kerjasama dilakukan bagi menjayakan kerjasama ekonomi Asean yang telah ditandatangani di Bali pada 21 Jun 2011. Malaysia dan Indonesia boleh menjadi penggerak utama Asean dalam hal ini.

Prof Tan Sri Mohd Salleh Mohd Yassin dalam ucapannya menyatakan Malaysia sudah bersedia baik secara prasarana dan maupun politik untuk mendukung penubuhan ITB Cawangan Malaysia. Beliau menyampaikan salam daripada Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Khalid Nordin dan juga Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Mahyuddin Mohd Yassin kepada hadirin dan hadirat pertemuan ini. Sambil itu beliau menyatakan salah satu inovasi ITB sudah pun digunakan di Serawak dalam menjana tenaga letrik menggunakan turbin. Beliau mengulangi data yang dinyatakan oleh Rektor ITB bahwa hingga kini ITB sudah menghasilkan sekitar 75,000 graduan yang tersebar di seluruh dunia dan berharap lebih banyak lagi inovasi ITB akan digunapakai di Malaysia dan juga di seluruh dunia nanti.

Apabila ITB berada di Malaysia, ianya boleh menjadi salah satu hub pendidikan yang sedang berkembang di Malaysia. Tan Sri Salleh, selaku Rektor Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation University) menyatakan Malaysia kini mempunyai 2,000 pelajar daripada Arab Saudi, dan ramai pelajar-pelajar dari Iran, Iraq dan negara-negara Arab yang lain yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan mereka. Universiti-universiti luar negera seperti Monash, Nottingham, Curtin dan lain-lain telah menaikkan nama Malaysia sebagai hub pendidikan yang terkenal.

Beliau menyatakan dengan kehadiran ITB Cawangan Malaysia, akan memberikan pilihan yang luas bagi pelajar-pelajar Indonesia, Malaysia dan negera-negara lain mencari ilmu dengan kepakaran Asean. Pelajar-pelajar dari Sumatera misalnya lebih dekat ke Malaysia daripada ke Jakarta, dan dengan adanya ITB Malaysia, pelajar-pelajar tersebut boleh terus saja ke Malaysia dan mendapat kualitas yang sama dengan ITB di Indonesia. Menurut alumni ITB asal Indonesia yang berada di Malaysia, kos hidup di Malaysia jauh lebih murah berbanding di Jakarta dan Bandung.

Dalam sesi pembentangan laporan kajian kesesuaian penubuhan ITB Malaysia, tim peneliti telah mengambil kira banyak aspek bagi menjayakan ITB Cawangan Malaysia. Kajian yang begitu terperinci telah diedarkan kepada peserta perjumpaan dan rata-rata puashati dengan hasil kajian yang positif itu. Laporan setebal 28 mukasurat dalam format “landscape” telah memuatkan hasil kajian yang terperinci dan ruangan ini tidak bermaksud untuk menerbitkannya semula di sini.

Pada sebelah petang selepas rehat solat dan makan tengahari, sesi dimulai tepat jam 1.30 petang dengan rentetan pendapat peserta. Antara alumni ITB asal Malaysia yang memberikan komentar, pandangan dan pendapat ialah Prof tan Sri Salleh, Prof Muhammad Awang, Prof Jambari, dan Dr Jamaluddin Basharuddin. Ramai alumni ITB asal Indonesia yang berada di Malaysia telah memberikan pendapat dan pandangan yang bernas.

Tepat jam 2.55 petang, Bapak Rektor ITB telah menyatakan sebagai penutup dan merumuskan bahwa marilah kita mulai gagasan besar ini dengan gerakerja yang kecil dahulu, semoga sukses akan menanti di hujung terowong yang penuh dengan cahaya kejayaan.

Ismail Abdullah, 9-10-11.