Wednesday 18 April 2012

Antara penganggur domestik dan Pati Indonesia

Drs. Ahmad Fadhil Yassin

Menurut laporan sekitar tiga setengah persen atau 350 ribu warga Malaysia adalah penganggur, sementara lebih 800,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) bekerja di negara ini sebelum Ops Tegas dilancarkan 1 Mac lalu. Setelah operasi bermula dikatakan 500,000 pulang secara sukarela dengan harapan datang semula secara sah. Proses datang semula dijanjikan memakan masa cuma dua hari. Maka dengan janji ini mereka akan membanjiri semula kuantum pekerjaan yang dikosongkan akibat ops tegas dan majikan dalam lapangan kerja binaan dan perladangan akan bernafas lega semula setelah kerugian sekian banyak tanpa kehadiran Pati ini.

Namun setelah seminggu berlalu sejak ops tegas dilancarkan, aliran masuk semula Pati ke negara ini tidak seperti yang dijangkakan. Semuanya kerana karenah birokrasi di negara jiran. Dan syarat yang membebankan setiap Pati yang mahu masuk semula tetapi secara sah. Setiap orang perlu bayar sekitar RM1,290 (Rp2.99 juta) jika mahu kembali ke Malaysia. Hampir sama banyak malah lebih berbanding jika seorang itu mahu ke Malaysia buat pertama kali. Kemudian ada pula fatwa baru dari ulama Indonesia bahawa wanita Indonesia adalah haram keluar negeri, walau untuk bekerja. Alasannya mereka meninggalkan keluarga.

Malaysia sepatutnya sudah lebih daripada maklum tentang masalah karenah birokrasi di Indonesia. Kedutaan Malaysia di Jakarta sepatutnya telah menjelaskan perkara birokrasi ini kepada pihak berkuasa di Malaysia. Telah puluhan tahun kedua-dua negara berhubungan secara timbal balik dalam pelbagai bidang, tidak terkecuali ekonomi dan sumber tenaga kerja. Tetapi Malaysia, terutamanya belum juga serik-serik dan belum juga menemukan opsyen terbaik bagaimana hubungan antara kedua-dua negara dan rakyat dapat diperbaiki dan dipermudah. Birokrasi menjadi hambatan nombor satu.

Pelajar Malaysia yang menuntut di sana mempunyai pengalaman luas tentang karenah birokrasi di negara jiran itu. Ramai juga usahawan dan pelabur Malaysia kecewa dengan karenah yang tidak membantu banyak dalam usaha kongsi niaga. Malah Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri suatu waktu begitu ghairah untuk mengadakan kerjasama dalam bidang penerbitan (melalui Fokeps), tidak lagi bersikap seghairah dulu. Khabarnya, sebuah galeri buku yang dibangunkan Malaysia di kawasan Kwitang, Jakarta akhirnya ditutup kerana kurangnya kerjasama dengan penerbit di sana. Maka apa yang perlu dihairankan, malah tidak siapa yang akan terkejut jika proses kemasukan semula Pati ke negara ini (kali ini secara sah), menemui jalan buntu. Yang membuatkan ramai terkejut harapan Malaysia yang hanya menerima bulat-bulat pengakuan kerajaan Indonesia bahawa proses pemasukan semula Pati akan dilakukan dalam masa dua hari tanpa melibatkan banyak kos.

Pernah seorang ahli akademik di Kota Bandung menjelaskan “Di negara kami apa sahaja serba mungkin. Yang benar dan betul kelmarin belum tentu benar dan betul hari ini. Begitu juga halnya esok, lusa dan kapan-kapan lagi.” Kata-kata ini jelas mainan orang politik tetapi di Indonesia seperti kata ahli akademik itu “segala-galanya diasaskan kepada politik. Bukan politik yang benar-benar politik tetapi politik perut dan kesempatan.” Dan apa yang berlaku dalam proses kemasukan semula Pati ke Malaysia adalah sebagai akibat mainan politik perut dan kesempatan ini. Kata ahli akademik itu, “Apa pun kerajaan itu, ia punya tujuan baik untuk mensejahterakan rakyat. Tidak kira apa corak kerajaan sekalipun. Namun yang tidak baiknya itu ialah oknum-oknum (pegawai-pegawai) yang melaksanakan segala peraturan dan undang-undang. Bukan sedikit kita dengar pelbagai bentuk salah guna dan seleweng.”

Ada yang berkata proses kemasukan Pati itu dihalang oleh politik kesempatan. Ini dapat dilihat dari segi status Pati itu sendiri. Bukan tidak mungkin pegawai-pegawai yang memproses Pati ini menganggap Pati yang pulang membawa wang banyak. Mereka menghitung-hitung wang yang dibawa masuk ke Indonesia ketika dihantar pulang sebelumnya. Katakanlah gaji sehari seorang Pati RM50. Sebulan kerja gajinya sekitar RM1,500. Kalau tiga bulan jumlahnya RM4,500. Kebanyakan Pati telah bekerja di Malaysia lebih daripada tempoh itu. Mungkin setahun, dua tahun. Setelah ditolak kos hidup, sisanya masih banyak. Tidak mustahil jika ada pati yang membawa pulang dalam jumlah ribuan kalau tidak pun puluh ribuan. Maka bagi pegawai yang memproses Pati ini tidak keterlaluan jika Pati dikenakan caj RM1,200 per orang. Kalau nggak mahu bayar ya sudah. Nggak usah ke Malaysia lagi!

Bagi pihak Malaysia, terutama majikan yang telah kehilangan banyak pekerja, ada dua persoalan timbul. Dan kedua-duanya saling berkaitan. Dalam responsnya kepada kemasukan pekerja sah ke Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jika proses kemasukan semula Pati terlalu lambat “kita akan mencari tenaga perkerja dari negara lain. Kita tidak boleh tunggu lebih lama.” Timbul soalan. Apakah banyak majikan selama ini menggunakan Pati untuk menyiapkan projek mereka? Kelihatannya majikan sudah mula gelabah dan mengalami kerugian besar tanpa tenaga Pati ini. Bukankah menjadi satu kesalahan jika majikan mengambil pekerja dari kalangan Pati? Dan dengan penjelasan Najib, ia seolah-oleh memberi gambaran bahawa Kerajaan merestui majikan mengambil Pati untuk bekerja dengan mereka.

Ketika Menteri Sumber Manusia menjelaskan perkara Pati tidak dibayar gaji oleh majikan, menteri itu seperti membela majikan dengan berkata gaji Pati telah dibayar melalui sub-kontraktor yang juga Pati. Menteri itu tidak langsung menyentuh apakah menjadi satu kesalahan bagi syarikat-syarikat yang menggajikan Pati. Ketika ada syarikat yang mengakui telah membayar gaji kepada pekerja Patinya, tidak ada pula tindakan diambil kepada syarikat ini setelah menteri berkenaan menerima laporan daripada mereka. Hal ini juga dirasakan pelik oleh pihak Indonesia, bagaimana majikan di Malaysia terlepas hukuman setelah diketahui menggaji pekerja-pekerja Pati. Malah seorang hakim ketika menjatuhi hukuman kepada Pati pernah musykil mengapa Pati yang telah dikenakan hukuman tidak dihantar pulang ke negara asal mereka.

Persoalan kedua ialah persiapan Malaysia untuk mengisi kekosongan pasaran tenaga kerja yang ditinggalkan Pati. Daripada penjelasan Najib, nyata tidak ada pelan tindakan lain yang dirangka. Kerajaan benar-benar mengharapkan kejujuran Kerajaan Indonesia mengirimkan semula bekas Pati ke Malaysia secara sah dalam tempoh yang paling singkat. Kalaulah Kerajaan telah diberi nasihat yang betul tentang karenah birokrasi di negara jiran itu, tidak mustahil satu pelan tindakan susulan akan dirangka. Tanpa menunggu status dan kedudukan Pati ke negaranya, kerajaan telah mula mengambil pekerja-pekerja dari negara-negara lain. Yang terdekat pekerja-pekerja Thai dari empat wilayah di selatan negara itu yang berhampiran dengan Malaysia. Atau tenaga Bangladesh ditambah. Tidak perlulah jauh-jauh seperti Pakistan.
Amat disayangkan masalah ini tidak dirancang dengan baik. Dan lebih disayangkan lagi majikan-majikan yang terang-terang menggunakan Pati (bukti pengakuan pembayaran gaji kepada Pati) tidak pula diambil tindakan. Yang sering diburu ialah majikan-majikan kecil di daerah pedalaman atau di pekan-pekan. Seorang bekas pelajar Malaysia di Indonesia dan kini bekerja sebagai pegawai kanan kerajaan berpendapat jawapan Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, A.M. Fachir, tentang masalah Pati ini tidak membantu mempercepat kemasukan semula bekas Pati ini. Antara lain Fachir dilaporkan sebagai berkata, “Kerajaan Indonesia tidak boleh menghalang niat Kerajaan Malaysia untuk mengambil pekerja dari negara lain. Tetapi Malaysia tidak boleh menolak hakikat bahawa Tenaga Kerja Indonesia sendiri telah berjaya menjana pembangunan ekonomi Malaysia sejak lama.” Jawapan ini adalah ekoran pernyataan Najib yang kurang senang dengan kelambatan proses pengiriman semula bekas Pati.

Kata bekas pelajar ini, “Yang menarik daripada jawapan Fachir ialah makna tersiratnya. Seolah-olah Malaysia tidak sepatutnya meminggirkan tenaga kerja Indonesia dan patut berterima kasih atas bantuan mereka melaksanakan proses pembangunan ekonomi negara. Pada saya jawapan Fachir itu seperti mempersoalkan hak Malaysia mengambil tenaga kerja dari negara-negara selain Indonesia.” Dengan demikian ada semacam mainan tarik-tarik tali antara Indonesia dengan Malaysia. Seolah-olah Fachir berfikir Malaysia kena tunggu dan sabar mendapatkan tenaga kerja Indonesia yang sejak sekian lama memberi khidmat kepada pembangunan Malaysia.

Maka akhirnya, kelihatan Malaysia berdepan dengan kemelut tenaga kerja dan menjadi mangsa keadaan, berdepan dengan “amaran” Fachir dan meletakkan kedudukan majikan dalam keadaan serba salah. Kemudian turut menjadi mangsa dalam percaturan politik kesempatan dan karenah birokrasi ini ialah bekas Pati yang pulang ke Indonesia dan mahu segera dikirimkan semula ke Malaysia dengan izin. Barangkali pula sudah ramai yang mencongak-congak risiko untuk kembali menjadi Pati di Malaysia dalam waktu terdekat ini. Mereka berfikir tindakan Ops Tegas di Malaysia akan gagal dan keghairahannya akan pudar juga akhirnya. Petunjuk yang sedia ada agak memberangsangkan buat mereka. Menurut statistik, sehingga Selasa lalu, hanya 1,629 Pati ditahan sejak Ops Tegas dilancarkan 1 Mac. Jumlah yang kecil ini menunjukkan masih ramai Pati yang masih berkeliaran di seluruh negara dan dalam keadaan menunggu dan melihat seperti apa yang mereka sering kata “situasi dan kondisi.” Dan jumlah yang ditahan ini termasuk Pati dari Myanmar, Nepal, India, Bangladesh dan Eropah.

Turut dilaporkan 35 majikan telah juga ditahan kerana menggajikan Pati. Tidak pasti apakah ia termasuk majikan yang mengaku sudah membayar gaji pekerja Patinya setelah timbul isu majikan tidak membayar gaji pekerja pati. Menariknya ada di kalangan majikan itu berstatus usahawan kelas kakap dan melaksanakan projek-projek raksasa.

Jadi apa kesudahannya masalah tenaga kerja Pati ini? Setakat ini tanggapan hanya datang dari pihak Kerajaan Indonesia. Bagaimana dengan kerajaan-kerajaan yang rakyatnya telah menjadi Pati di Malaysia? Dan paling penting ialah masalah pengangguran yang semakin merunsingkan. Atas kertas Jumlah besar yang menganggur boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pati. Soalnya larat ke penganggur ini mengambil alih kerja-kerja yang dianggap mereka “kuli kontrak” sedangkan kebanyakan yang menganggur mempunyai kelayakan pendidikan yang memberi jaminan bekerja yang lebih baik. Kata bekas pelajar tadi, “Atas kertas memang cantik. Tapi yang menjadi masalah, sikap penganggur di negera kaya seperti Malaysia. Saya yakin dalam beberapa bulan akan dating kita akan dengar jumlah Pati yang ditahan jauh kurangnya berbanding jumlah yang masuk sebagai Pati ke negara ini.Kita lihat saja.”

Ahmad Fadhil Yassin, Sg. Buloh, 15 April 2012

Nota: Ahmad Fadhil Yassin (AFYassin) pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Fajar Bakti, seorang penulis yang prolifik dan pengamat sosial yang tajam analisanya.

No comments:

Post a Comment