Monday 15 April 2013

Rantau yang berkembang pesat di dunia


Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) Indonesia memaklumkan bahwa pada tahun ini penduduk Indonesia dianggar akan mencapai 250 juta orang dengan pertumbuhan penduduk 1.49% setahun.

"Jumlah penduduk Indonesia tahun 2012 sekitar 230 juta jiwa.....," jelas Sudibyo.

Jika secara purata pertambahan penduduk Indonesia adalah 20 juta setahun, maka dalam masa lima tahun pertambahan penduduk sudah menjadi 100 juta, dan pada tahun 2018 jumlah penduduk Indonesia akan menjadi 350 juta orang. Angka itu mungkin terlalu optimistik kerana pasti ada yang meninggal ketika itu, namun dengan tahap penjagaan kesihatan yang optimum sekarang ini jangka hayat manusia kian bertambah panjang.

Bagi orang bisnes jumlah atau volum memainkan peranan yang sangat penting. Ini bermakna terdapat pasaran yang sangat besar di Indonesia. Cuma perlu perancangan yang sangat teliti untuk memulakan bisnes di Indonesia dengan seribu satu macam masalah kemanusiaan yang pembaca sendiri tentu maklum.

Menurut “The Wealth Report 2012”, Jakarta merupakan kota yang paling tinggi peningkatan nilai hartanah iaitu 38%, diikuti oleh Bali 21%, Dubai 20%, Miami 19.5% dan Sao Paulo 14%. Tidak dijelaskan apakah faktor-faktor yang membuat peningkatan nilai hartanaha yang begitu tinggi di Jakarta.

Selain Cina dan India yang mempunyai penduduk yang teramai di dunia, Indonesia tidak kurang kalah dari kedua-dua negara tamadun dunia itu. Mungkin Indonesia akan menjadi nombor tiga selepas India menjadi negera yang mempunyai paling ramai penduduk di dunia. Jika tahap ketirisan harta negara dapat dikurangi, sangat mungkin rakyat Indonesia akan menikmati kekayaan alam mereka secara merata.

Melalui konsep desentralisasi (atau nyah pusat) provinsi-provinsi di Indonesia semakin maju dan berdaya saing. Mereka dapat mengoptimumkan pendapatan dan pengeluaran provinsi masing-masing dan penyebaran kekayaan akan terjadi dengan lebih cepat, merata dan saksama. Sejak dari kecil saya sering menganggap Indonesia ialah negara saya juga, Presiden Sukarno dengan gaya pidato yang tersendiri sempat menjadi idola saya. Kini, setelah memilih pasangan hidup warga Indonesia, negara itu semakin dekat di hati dan ingin sekali melihat negara itu maju dan berkembang ke arah “baldatun toyyibatun warafun ghafur”. Kini kebebasan politik mereka lebih matang daripada di Malaysia.

Saya berpendapat jika tahap pendidikan rakyat sesebuah negara semakin baik, maka kemajuan dan keamanan negera tersebut akan lebih terjamin. Apa yang penting ialah mendidik masyarakat menjadi warga yang berpendidikan agar mereka dapat menggunakan akal waras untuk membuat pertimbangan yang baik ketika membuat keputusan. Apakah itu keputusan pribadi, politik, kewangan, agama, sosial dan sebagainya.

Kalau tahap pendidikan dapat diukur dengan jumlah penerbitan buku, maka tahap pendidikan demikian masih jauh daripada sempurna. Jumlah terbitan buku di Indonesia kini tidak sampai 18,000 judul per tahun (Majalah Intisari, April 2013). Dalam majalah yang sama juga didedahkan fakta bahwa purata rakyat Indonesia yang menonton televisyen ialah 2.3 jam sehari, melayari internet 2 jam sehari dan yang membaca surat khabar hanyalah 34 minit sehari. Mungkin data mengenai rakyat Jepun jauh lebih tinggi dari itu, terutama dalam membaca buku, surat khabar dan majalah.

Perkembangan pertambahan penduduk tidak dapat diselaraskan dengan perkembangan tahap pendidikan kerana beberapa faktor, terutamanya ialah biaya yang tinggi untuk memasuki alam persekolahan. Sejak dari sekolah rendah atau sekolah dasar hinggalah ke perguruan tinggi memerlukan biaya yang sangat tinggi. Faktor ini yang mencicirkan ramai warga Indonesia untuk memasuki alam persekolahan. Kita khuatir jika pertambahan penduduk berlaku terlalu cepat berbanding dengan pertambahan ilmu pengetahuan penduduk keadaan yang tidak stabil akan timbul dan ini akan membantutkan pembangunan negara.

Mari kita cari pendekatan bagaimana memandaikan rakyat dalam rantau yang sedang berkembang pesat dengan manusia. Kini Malaysia menampung lebih daripada 3 juta rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia dan besar kemungkinan angka itu akan bertambah sesuai dengan pertambahan 1.49% rakyat Indonesia setiap tahun.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 15 April 2013.

No comments:

Post a Comment