Friday 12 August 2011

Kearah Mencapai Status Masyarakat Malaysia-Indonesia Bertaraf Dunia - Peranan PAPTI


Disusun oleh:
Dr. Shamsul Bahar bin Abdul Kadir dan Professor Dr. Jambari bin H. Ali;
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)


Ringkasan
Kebijaksanaan polisi, keputusan dan langkah yang telah diambil oleh pemimpin kedua negara Malaysia dan Indonesia untuk meningkatkan kerjasama didalam bidang pendidikan sejak kedua negara mencapai kemerdekaan sudah mendatangkan hasil yang menguntungkan masyarakat kedua-dua negara. Malaysia dan rakyatnya sudah mendapat manfaat dengan pemergian pelajar-pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di Indonesia, dan begitu juga Indonesia dan rakyatnya sudah mendapat manfaat melalui kedatangan pelajar-pelajar Indonesia melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Dalam mengharungi era globalisasi, masyarakat Malaysia dan Indonesia perlu dimajukan kearah masyarakat bermaruah bertaraf dunia. Kerjasama berbentuk collaborative learning, collaborative knowledge acquisition dan resource sharing yang sekarang sedia wujud perlu ditingkatkan. Teknologi terkini terutama teknologi komunikasi dan maklumat mesti dimanfaatkan sepenuhnya agar kerjasama Malaysia-Indonesia lebih efisien dan efektif. Polisi dan peraturan yang berkaitan di kedua-dua negara perlu diselaraskan untuk merangsang dan memudahkan kerjasama timbal balik dalam bidang pendidikan diantara Malaysia dan Indonesia.

Pendahuluan
Perhubungan didalam bidang pendidikan diantara negara merupakan perhubungan murni dan netral politik. Perhubungan demikian yang berlangsung diantara Malaysia dan Indonesia wujud kerana keperluan, sama ada oleh individu atau keluarga masing-masing maupun daripada pihak kerajaan/pemerintah kedua-dua negara. Dalam konteks peningkatan persahabatan dan pengukuhan kerjasama pembangunan diantara Malaysia dan Indonesia, peranan dan kesan perhubungan pendidikan diantara kedua negara perlu diteliti dan dikembangkan lebih lanjut secara jitu dan teratur demi kebaikan atau keuntungan bersama dan juga bagi mencapai matlamat dan wawasan kedua negara serumpun ini.

Keterbatasan Kertas Kerja Ini
Kertas kerja ini merupakan usaha awalan perbincangan atau penulisan mengenai apa yang sedang berlaku dan yang telah dicapai melalui kerjasama Malaysia-Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi. Kertas ini jauh daripada bersifat ilmiah tetapi lebih merupakan himbauan pengalaman dan pengamatan pihak kami. PAPTI berpendapat perkembangan kerjasama bidang pendidikan tinggi diantara kedua negara tetangga ini perlu ditelusuri dengan lebih sistematik dan terperinci untuk kajian dan penelitian selanjutnya selepas ini.

Penulisan ini sudah pasti belum sempurna dari segi data empirikal maupun analisis yang tepat. Namun kami percaya dia dapat menggambarkan keadaan sebenar kerana PAPTI merupakan hasil dan bahagian dari sejarah ini. PAPTI berhasrat meneruskan usaha didalam perkara ini melalui penelitian lanjut dan penulisan seterusnya untuk rujukan dan rancangan serta tindakan masa hadapan.

Pendekatan Kertas Kerja Ini
Kertas kerja ini mengambil pendekatan melalui pertanyaan: “Apakah yang telah dapat kita capai sehingga kini dan apa pula yang perlu kita lakukan seterusnya untuk masa hadapan”. Perbincangan yang dibentangkan di sini adalah buah fikiran sekumpulan kecil ahli-ahli PAPTI yang mempunyai pengalaman secara langsung dalam topik berkenaan. Ahli-ahli PAPTI adalah rakyat Malaysia yang lulus pengajian tinggi di universiti-universiti di Indonesia, dan setelah kembali ke tanah air ikut berperanan memajukan usaha kearah kerjasama diantara pihak-pihak yang berkenaan di kedua-dua buah negara dalam bidang pendidikan tinggi.

Keperluan Pendidikan Tinggi Bagi Masyarakat Menghadapi Masa Hadapan
Pendidikan tinggi rakyat Malaysia dan Indonesia perlu secara terus menerus ditingkatkan agar rakyat kedua buah negara ini boleh menghadapai cabaran-cabaran dunia dalam era globalisasi, networked world, dan perkembangan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang merubah cara manusia berfikir, berinteraksi, berkerja dan mengembang untuk menjadi masyarakat yang bermaruah didalam dunia baru ini. Masyarakat rumpun Malaysia dan Indonesia perlu bergerak proaktif agar tidak ketinggalan dengan kebangkitan masyarakat dunia lain saperti di Amerika Utara, Eropa, Cina, India dan Amerika Latin. Sehubungan hal ini kerjasama Malaysia-Indonesia baik secara bilateral maupun dalam ASEAN sudah tentunya akan memacu lajunya pencapaian wawasan rumpun masyarakat Malaysia dan Indonesia masa hadapan.

Sudah menjadi lumrah bahawa masyarakat yang maju haruslah mempunyai beberapa atribut unggul, diantaranya: berpengetahuan (knowledgeable), berketrampilan (skilled), dan berkerja secara inovatif dan cost-effective. Untuk itu mereka mesti berkerja secara jaringan (networking), banyak collaboration dan berkomunikasi secara berkesan.

Negara-negara membangun perlu menguruskan sumber daya manusia (human resource) masing-masing secara efisien dan seefektif mungkin. Wajarlah resource sharing dengan negara-negara sahabat dan tetangga dilaksanakan untuk mengatasi sumber yang terhad.

Latarbelakang Ringkas Pemergian/Kedatangan Pelajar diantara Malaysia dan Indonesia
Pemergian/kedatangan pelajar di rantau ini telah berlaku sejak zaman silam sebelum terbentuknya negara-negara Indonesia dan Malaysia merdeka. Aktiviti ini meningkat secara lebih formal setelah kedua-dua negara mencapai kemerdekaan dan terwujudnya institusi-institusi pendidikan tinggi moden. Perhubungan kerjasama rasmi Malaysia-Indonesia boleh dikatakan bermula secara rasmi apabila Pemerintah Republik Indonesia menawarkan lima biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk belajar di Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta pada tahun 1958 sebagai hadiah kemerdekaan Tanah Melayu atau Malaya. Tahun berikutnya lima orang lagi pelajar pergi kesana atas biasiswa yang sama.

Pemergian pelajar-pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Indonesia meningkat pada tahun-tahun 1960an. Kebanyakan mereka melanjutkan pelajaran dengan pembiayaan sendirian. Ada juga yang dibantu oleh badan-badan sukarela/kebajikan saperti Gabungan Pelajar-Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS). Kerajaan Malaysia telah juga menghantar beberapa orang pelajar untuk mengikuti kursus penerbangan sivil di Akademi Penerbangan Indonesia di Tjurug, Tanggerang.

Pada tahun 1969 mulailah peningkatan kerjasama formal antara kerajaan/pemerintah kedua negara (Government-to-Government) dengan Malaysia buat pertama kalinya menghantar seramai 30 orang pelajar Malaysia ke Institut Teknologi Bandung (ITB) dan 30 pelajar ke Universitas Gadjah Mada (GAMA) dalam bidang sains tulin. Mereka ini ditaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan MARA (Majlis Amanah Rakyat), Malaysia.

Pada tahun 1970 sekitar 130 orang pelajar Malaysia yang ditaja oleh Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pelajaran Malaysia dan MARA telah dihantar melanjutkan pelajaran didalam bidang-bidang sains, kejuruteraan, perubatan, pergigian, farmasi, pertanian, perhutanan, veterinari, kujuruteraan marin, sains pelayaran, di pelbagai institusi pengajian tinggi saperti Institut Teknologi Bandung, Universitas Gadjah Mada, Universitas Indonesia, Universitas Padjadjaran, Institut Pertanian Bogor, Universitas Airlangga, Universitas Sumatera Utara dan Akademi Ilmu Pelayaran. Penghantaran ini berlanjutan hingga tahun 1980an, namun jumlahnya berkurangan setelah lebih banyak universiti tempatan di Malaysia yang ditubuh ketika itu seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Petanian Malaysia.

Pada sekitar tahun 1998 jumlah pelajar Malaysia ke Indonesia mulai kembali meningkat, dan kebanyakan daripada mereka mengikuti pengajian perubatan, pergigian dan farmasi. Ketika ini dianggarkan lebih daripada 4,000 orang mahasiswa Malaysia sedang mengikuti pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi di Indonesia dalam bidang itu.

Sementara itu, kedatangan pelajar–pelajar Indonesia ke Malaysia tidak ketara pada beberapa dekad sebelum melania baru. Ia mulai meningkat pada tahun-tahun 1980an atau 1990an. Pada masa sekarang pelajar Indonesia di Malaysia dianggar melebihi 14,000 orang termasuklah mereka di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Mulai tahun-tahun 1980an pelajar Indonesia diperingkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi swasta yang berprestasi tinggi di Malaysia terus meningkat. Walaupun jumlah pelajar ijazah pertama di universiti awam tidaklah ramai tetapi pada tahun 1995/1996 dianggarkan lebih dari 2,000 orang pelajar mengikuti program ijazah lanjutan, sarjana (Masters) dan PhD. Sebagai gambaran kasar, pada ketika itu pelajar-pelajar Indonesia di peringkat Siswazah Masters dan PhD di universiti-universiti di Malaysia berjumlah seperti berikut: Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar 500 orang, Universiti Sains Malaysia sekitar 500 orang, Universiti Malaya sekitar 300 orang, dan Universiti Putra Malaysia sekitar 300 orang. Hari ini jumlah pelajar Indonesia yang mengikuti program Siswazah Masters dan PhD di Malaysia diperkirakan seramai 8,000 orang.

Pengalaman PAPTI dan Penglibatan Ahli PAPTI
Apabila kembali ke Malaysia setelah tamat pengajian di institusi pengajian tinggi di Indonesia, para graduan ini mula berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta. PAPTI (Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia) yang telah ditubuhkan pada tahun 1975 sebagai wadah organisasi mereka membawa misi, salah satunya ialah “Memperkukuhkan persaudaraan Rumpun Melayu (Malaysia-Indonesia) khususnya dalam bidang pendidikan, agama, dan kebudayaan”. Dalam kerangka ini, PAPTI berpegang teguh kepada keyakinan bahawa keakraban kedua masyarakat dapat diperkukuh melalui pendidikan terutama di peringkat tertiari.

PAPTI secara aktif telah menyediakan pakar-pakar yang terdiri dari ahlinya untuk menjadi pembimbing calon-calon yang akan menghadapi Ujian Masuk Perguruan Tinggi Nasional iaitu ujian saringan untuk memasuki universiti di Indonesia. PAPTI juga telah dan sentiasa membantu calon-calon bersendirian untuk mendapatkan tempat mengikuti program perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan di universiti terkemuka di Indonesia.

Ramai pula ahli-ahli PAPTI yang berperanan. secara langsung dalam usaha kerjasama bidang pendidikan Malaysia-Indonesia. Kehadiran ahli-ahli PAPTI di pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia telah menghasilkan berbagai bentuk kerjasama berkenaan. Sebagai sedikit gambaran dan contoh, disini disebutkan beberapa bentuk kerjasama yang terjalin pada masa ini:
  1. Persidangan Tahunan Kerjasama Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya dengan Universitas-Universitas Indonesia;
  2. Double-Degree Masters Program Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Teknologi Bandung (ITB), iaitu “Master of Science in Petroleum Geoscience and Master of Engineering in Applied Petroleum Geoscience”;
  3. Joint-Degree Medical Twinning Programme Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Padjadjaran (UNPAD);
  4. Simposium anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Padjadjaran (UNPAD) bertajuk “Simposium Kebudayaan Indonesia Malaysia (SKIM)” yang berlangsung dwitahunan;
  5. Seminar Bersama Kimia ITB-UKM, “JSChem-ITB-UKM,” diantara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Teknologi Bandung (ITB) yang diadakan setiap tahun;
  6. Medical Conference yang dianjurkan secara bersama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universitas Indonesia (UI) dan Universiti Brunei, dinamakan “Malaysia-Indonesia-Brunei (MIB) Medical Conference”, yang diadakan setiap tahun;
  7. Seminar bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia - LIPI (The Indonesian Institute of Sciences) dalam bidang eletronik, “Joint Seminar on Electronic Devices, MEMS and Nanotechnology UKM-LIPI”, yang pada tahun ini masuk kali yang keempat diadakan secara bergilir di Indonesia dan Malaysia;
  8. Persidangan anjuran bersama Universiti Pendidkan Sultan Idris, Malaysia (UPSI) dan Universiti Pendidikan Indonesia (UPI), “Konferensi Internasional Pendidikan Guru”, yang tahun ini adalah kali yang ke-empat diadakan.

Banyak lagi program bersama diantara institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia selain dari yang dinyatakan diatas tidak disenaraikan disini. Diantaranya perlu juga dinyatakan disini bahawa pada sekitar tahun 1970an pihak Malaysia pernah mengambil tenaga pengajar dari Indonesia untuk mengisi banyak jawatan pensyarah. Mereka juga telah bersama membangun bidang-bidang kritikal di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia yang baru ditubuhkan ketika itu.

Kesan Kerjasama Malaysia dan Indonesia Dalam Pendidikan Tinggi

Kesan positif yang diperolehi daripada usaha kerjasama Malaysia dan Indonesia didalam bidang pendidikan tinggi di kedua-dua negara tidak boleh dinafikan Kerjasama ini telah membawa manfaat dan keuntungan kepada kedua-dua negara. Boleh dikatakan kesemua graduan Malaysia dari Indonesia telah memegang jawatan penting dalam agensi kerajaan dan badan korporat atau pun syarikat swasta. Sebahagian pula meceburkan diri dalam bidang perniagaan.Ramai juga diantara mereka telah melanjutkan pelajaran keperingkat lebih tinggi sehingga peringkat Masters dan PhD. Banyak daripada mereka ini seterusnya berkhidmat di hampir semua universiti-universiti awam dan swasta utama di Malaysia sebagai tenaga akademik dan penyelidikan. Ramai pula diantara mereka telah diberi tanggungjawab pentadbiran seperti Dekan, Timbalan Naib Canselor dan malahan Naib Canselor. Beberapa orang yang telah mencapai heirarki tertinggi pengurusan universiti, contohnya Profesor Emeritus Dato’ Abu Bakar bin Abdul Hamid, mantan Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Yassin, mantan Naib-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini menjawat Direktor, United Nations University (Institute of Global Health), Professor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, mantan Naib-Canselor Universiti Malaysia Sabah yang kini menjawat Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Profesor Dr. Muhamad Awang mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia yang kini menjawat Naib Canselor Universiti Kolej SEGi. Contoh-contoh nyata hasil kegiatan dan usaha mereka dapat kita lihat dengan terwujudnya berbagai kerjasama professional didalam bidang pendidikan tinggi saperti contoh-contoh tersebut diatas. Kerjasama saperti joint-degree program dan twinning program merupakan capacity building yang amat perlu ditingkatkan untuk menghadapi cabaran saingan masyarakat sedunia menjelang tahun-tahun hadapan. Seminar dan penyelidikan bersama pula merupakan usaha resource sharing yang amat penting bagi kedua negara yang sedang membangun ini dan perlu pula menyaingi secara cost effective dengan negara-negara Asia yang lebih maju dan negara-negara Barat. Dengan semakin bertambahnya institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia, dan perkembangan pesat bidang-bidang akademik peringkat sarjana, serta pendidikan dan penyelidikan berkualiti di Malaysia, ramai pelajar Indonesia melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia. Sebahagian besar mereka datang dengan pembiayaan sendiri atau tajaan agensi di Indonesia dan tidak kurang pula yang mendapat pembiayaan dari geran penyelidikan Malaysia sebagai Pembantu Penyelidik. Ramai diantara mereka setelah tamat pengajian di Malaysia pulang dan kini memegang jawatan-jawatan penting dalam dunia pendidikan tinggi saperti Dekan dan Timbalan Rektor di universiti-universiti di Indonesia. Gambaran yang disampaikan di atas dapat dilihat sebagai suatu proses lingkaran timbal-balik, yang pada mulanya Malaysia mendapat banyak keuntungan daripada tenaga pengajar Indonesia di Malaysia dan penghantaran pelajar-pelajar Malaysia ke Indonesia, tetapi kini Indonesia juga menikmati manfaat yang sama. Malahan pihak Indonesia memperoleh manfaat yang lebih baik hasil dari graduan peringkat ijazah lanjutan yang diikuti oleh pelajar-pelajarnya. Kesan tidak langsung daripada program dan kegiatan bersama tersebut adalah peningkatan interaksi di kalangan rakyat dan kumpulan professional Malaysia-Indonesia. Setelah bertahun-tahun menikmati pengalaman hidup di negara tetangga, berkuliah atau berkerja bersama, tentu akan menimbulkan perhubungan akrab dan persefahaman yang lebih mendalam diantara rakyat kedua negara ini.

Kesimpulan

Adalah menjadi hasrat mana-mana negara di dunia ini yang menginginkan masyarakatnya maju dan berpengetahuan. Tidak terkecuali negara Malaysia dan Indonesia dalam hal ini. Amat jelas dapat dilihat kebijaksanaan polisi dan keputusan yang diambil oleh pemimpin kedua negara sudah mendatangkan hasil positif. Iktibar dari fenomena ini adalah kedua negara ini mesti meneliti kerjasama pendidikan secara lebih mendalam untuk mengadakan program yang lebih mantap dan jitu kerarah wawasan kedua negara serumpun ini. Polisi dan peraturan di kedua-dua negara perlu diselaraskan untuk merangsang dan memudahkan kerjasama. Teknologi terkini terutama teknologi komunikasi dan maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua negara dalam perhubungan, pertukaran maklumat dan program-program berkaitan. Sebagai menyahut cabaran ekonomi dunia yang global dan networked pada masa hadapan, institusi-institusi pendidikan tinggi mesti bersifat terbuka dan menerapkan sikap dan amalan collaborative learning dan collaborative knowledge acquisition, serta resource sharing. Sehubungan ini sudah tentu kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-Indonesia akan lebih berkesan dan menguntungkan kedua-dua negara.

Penghargaan dan Rujukan

  1. Penyusun merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli PAPTI kumpulan sumbang saran semasa penyediaan kertas kerja ini, yaitu: Profesor Emeritus Dato’ Abu Bakar bin Abdul Hamid, Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh bin Mohamed Yasin, Profesor Dato’ Dr. Muhammad bin Yahaya, Profesor Dr. Saberi bin Othman, Profesor Dr. Abdul Karim bin Tajudin, Ir. Onn bin Mohd. Yusof, Profesor Madya Dr. Mokhtar bin Abu Bakar, Dr. Dasrilsyah Syahrial.
  2. Rujukan juga diperolehi daripada kertas-kertas kerja berikut: Dato’ Haji Omar Mohd Hashim. 2009. Sumbangan Tenaga Pengajar Indonesia Dalam Bidang Sains dan Matematik di Sekolah-Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia, Dialog Membangkitkan Memori Kolektif Kesejarahan Indonesia-Malaysia, Tanjung Pinang, Provinsi Kepulauan Riau, Indonesia, 8-9 Oktober 2009.
  3. Profesor Emeritus Abu Bakar bin Abdul Hamid. 2008. Hubungan Akademi Malaysia-Indonesia, Pandangan dan Pengalaman Peribadi. Persidangan Kerjasama Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dengan Universitas-Universitas Indonesia sempena 50-Tahun Hubungan Diplomatik Rasmi Malaysia-Indonesia. 2008.

NOTA: Kertas ini telah dibentangkan oleh PAPTI di Dialog Kesejarahan Malaysia-Indonesia Ketiga, 1-3 Oktober 2010, Johor Bahru, Malaysia, yang dikendalikan oleh Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Masyarakat Sejarawan Indonesia (MSI); dan kertas ini diterbitkan dalam buku “Memori Kolektif Kesejarahan Malaysia-Indonesia, terbitan Persatuan Sejarah Malaysia, 2011.

No comments:

Post a Comment